Sunday, 10 April 2011

Rekod tanpa kalah Perak dalam persaingan Liga Super bagi musim 2011 ini hanya bertahan sembilan perlawanan sahaja.

Sabah menjadi pemusnah rekod tanpa kalah itu setelah mencatat kemenangan tipis 2 – 1 di Stadium
Likas, Kota Kinabalu malam kelmarin.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan kedua Sabah yang mana menjadi catatan terbesar yang dilakukan oleh pasukan berkenaan.

Sebelum ini pasukan dari Bawah Bayu itu hanya mencatat satu kemenangan, seri tiga perlawanan dan kalah empat perlawanan.

Sabah berada di tangga ke-13 liga dengan mengumpul sembilan mata setelah bermain sembilan perlawanan. Sebaliknya, kekalahan ini merupakan kekalahan kedua Perak dalam Liga Malaysia bagi tahun ini.

Kekalahan Perak 1 – 3 kepada Terengganu dalam persaingan suku akhir kedua Piala FA merupakan
kekalahan kedua skuad Seladang.

Selepas sepuluh perlawanan, Perak turun ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 19 mata yakni satu mata di belakang Kelantan dan Selangor.

Dalam pertarungan di Stadium Likas, jurulatih Perak, Norizan Bakar telah menurunkan barisan terkuat yang diketuai oleh Shahrulnizam Mustapha.

Penjaring terbanyak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Shafiq Jamal menjadi penyerang utama Perak dalam perlawanan tersebut.

Perak berjaya mendahului pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama melalui tandukan cantik oleh Mohd Shafiq Jamal.

Gol tersebut bermula dari sepakan bebas yang dilakukan oleh Shahrulnizam Mustapha lalu disambut oleh Mohd Shafiq yang menanduk masuk ke dalam jaring Sabah.

Namun begitu, Sabah bangkit semula pada separuh masa kedua dengan menjaringkan dua gol bagi mengutip tiga mata penuh.

Para penyokong Kejor Yeop Kejor tidak mahu melihat kekalahan pertama yang dialami oleh Perak sebagai pematah semangat para pemain.

Sebaliknya, mereka mengharapkan kekalahan itu menjadi pengajaran dan pembakar semangat untuk berjaya dalam perlawanan akan datang.

Penyokong Kejor Yeop Kejor mahukan Perak memperolehi kemenangan mutlak ke atas Kelantan pada 12 April ini di Ipoh sebagai pengubat luka kekalahan tersebut.

Sumber: www.peraknews.com

0 comments:

Post a Comment