Wednesday, 11 May 2011

Mutu pengadilan kurang memuaskan

PRESIDEN Kelab Peminat Bola Sepak Perak, Abdul Jamil Othman ternyata kurang senang dengan mutu pengadilan yang dianggap kurang memuaskan pada pertembungan Harimau Muda A dan Perak di Shah Alam, kelmarin. 

Menurutnya, perlawanan yang diadili Anuar Che Husin serta dua pembantunya, Busrah Eri dan Jais Bujang boleh dipersoalkan kerana menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan. 

“Sebagai penyokong, saya kecewa dengan mutu pengadilan buruk sepanjang 90 minit perlawanan. 

“Keputusan mereka mencetuskan kontroversi kepada pemain kedua-dua pasukan dan peminat yang hadir ke stadium,” katanya. 

Menurut Jamil, perkara seumpama itu berulang ketika pertemuan membabitkan pasukan Seladang dalam perlawanan terdahulu. 

Katanya, skrip itu wujud dan tidak berubah sejak zaman bekas Pengurus Perak Datuk Jamal Nasir Rasdi. 

Sementara itu, Jamil turut memuji skuad Yob kendalian Norizan Bakar yang menunjukkan semangat juang tinggi sehingga tamat permainan.


Sumber: Sinar Harian 11 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment