Oleh Gagak – Jurulatih Perak, Norizan Bakar akhirnya mampu mengukirkan senyuman apabila pasukan kendaliannya telah menewaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 5-3. Perak yang hanya mengutip 1 mata dalam 3 perlawanan terakhir, amat memerlukan mata penuh untuk kembali bersaing merebut tangga teratas Liga Super.
Razali Umar Kandasamy telah meletakkan Perak didepan seawal minit pertama, apabila beliau telah menolak bola ke sebelah kiri pintu gol untuk menewaskan penjaga gawang kuala Lumpur Norazlan Razali. Walaupun begitu, kegembiraan Perak tidak lama apabila penyerang Kuala Lumpur See Kok Luen telah menyamakan kedudukan pada minit ke-13.
Kedua-dua pasukan saling membalas serangan tetapi ia masih gagal untuk mendapatkan gol pendahuluan. Akhirnya pada minit yang ke-34, Razali Umar Kandasamy sekali lagi meletakkan pasukan tuan rumah didepan, apabila bola tolakannya terkena pertahanan Kuala Lumpur lalu mengelirukan penjaga gol dan membolehkan Perak mendahului perlawanan sehingga tamat separuh masa pertama.
Di awal separuh masa ke-2,Razali Umar Kandasamy sekali lagi hampir mendapatkan gol ke-3 untuk Perak, tetapi kecekapan penjaga gawang Kuala Lumpur telah mengagalkan peluang terbaik itu. Pada minit ke-51, sekali lagi Norazlan Razali telah bertindak cemerlang apabila telah menafikan rembatan kencang dari Akmal Rizal. Perak terus melebarkan jurang apabila pemain sayap mereka Md Fazrul Hazli telah menjaringkan gol ke-3 pada minit ke-58.
Walaupun telah ketinggalan dengan jaringan 3-1, pemain Kuala Lumpur tidak mahu menyerah kalah. Pada minit ke-65, Muhammad Afiq azmi telah menjaringkan gol ke-2 Kuala Lumpur. Belum pun puas untuk meraikan jaringan itu, penyerang gantian Perak, Shafiq Jamal telah membuatkan pemain Kuala Lumpur terkedu, dengan rembatan kencang kaki kanan bagi membolehkan pasukannya mendapatkangol ke-4.
Perak terus mengasak kubu Kuala Lumpur dengan 2 percubaan berbahaya yang telah dilakukan oleh Mohd syazwan dan Akmal Rizal masing-masing mudah di selamatkan. Usaha Perak akhirnya berhasil apabila Mohd Noor Hazrul telah menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter bagi membolehkan Perak mendapat gol ke-5. Selang 4 minit kemudian, Kuala Lumpur pula telah mendapatkan gol ke-3 hasil jaringan Khairul Anuar Shafie.
Perak akhirnya berjaya mendapatkan 3 mata berharga. Kemenangan itu pasti akan menjadi inspirasi untuk mereka bersiap sedia menerima kunjungan Kedah pada Jumaat ini.
Sumber: www.peraknews.com 27 April 2011
0 comments:
Post a Comment