Thursday, 28 April 2011

Norizan lega Perak bangkit catat kemenangan

Pemain Perak, Razali Umar Kandasamy (kiri) berebut bola dengan pemain Kuala Lumpur, Ahmad Dashila Tajudin pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

IPOH - Jurulatih Perak, Norizan Bakar lega apabila pasukannya kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Liga Super.

Skuad bimbingan Norizan meraih tiga mata penuh apabila menumpaskan Kuala Lumpur 5 - 3 kelmarin, sekali gus naik ke tangga keempat liga dengan mengumpul 26 mata.

Perak ketinggalan empat mata kepada Kelantan di tangga ketiga, lima mata kepada Terengganu dan enam mata kepada pendahulu liga, Selangor.

"Walaupun Perak mampu mencatat kemenangan, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Kami hanya mempunyai dua hari sahaja untuk memperbaiki kelemahan berkenaan agar tidak menjejaskan persembahan skuad Seladang," tambahnya.

Norizan tidak menyatakan kelemahan yang masih menghantui skuadnya, menjelang pertemuan dengan Kedah di laman sendiri, esok.

Beliau lega dan bersyukur dengan kemenangan tersebut setelah gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Sebelum ini, Perak hanya mampu mengutip satu mata dalam tiga perlawanan setelah kalah kepada Selangor 0-1 (16 April), seri 1-1 dengan Terengganu (19 April) dan kalah 0-3 kepada Terengganu (23 April).

"Para pemain memberikan komitmen sepenuhnya dan mengikut strategi yang disusun menyebabkan persembahan Perak lebih bertenaga," jelas Norizan.

Norizan pertama kali menurunkan penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy dalam kesebelasan utama Perak.

Kesediaan Norizan menurunkan Razali berbaloi apabila penyerang sensasi itu menyumbatkan gol pertama Perak seawal minit pertama.

Sumber: Utusan Malaysia 28 April 2011

0 comments:

Post a Comment