Monday, 11 July 2011

Perak intai pemain perkuat cabaran dalam Piala Malaysia

IPOH - Perak sedang mengenal pasti beberapa pemain dari beberapa pasukan dalam usaha memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia, yang bermula September depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pemain terbabit diperlukan untuk memantapkan pasukan Seladang bagi musim ini.

"Kita masih mengenal pasti pemain dan perbincangan akan diadakan untuk membolehkan mereka bermain dengan skuad perak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Perak mengakhiri saingan Liga Super 2011 di tangga ke enam setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Selangor di Stadium Perak, Rabu lalu.

Keputusan itu menempatkan Perak pada tangga keenam Liga Super dengan mencatat 10 kemenangan, 10 seri dan tewas enam kali.

Keputusan tersebut juga menyaksikan pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun meletakkan jawatan apabila Perak gagal menepati matlamat untuk muncul antara lima pasukan terbaik sebagaimana yang disasarkan pada awal musim.

Pada musim lalu, skuad Seladang berada pada tangga ke 11 liga daripada 14 pasukan.

Sumber: Utusan Malaysia 11 Julai 2011

0 comments:

Post a Comment