Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA ) mengagihkan RM30,000 kepada 15 ahli gabungannya dalam usaha melaksanakan aktiviti bola sepak di peringkat akar umbi bagi tahun ini.
Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, agihan RM2,000 itu merupakan subsidi permulaan kepada semua ahli gabungan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain yang berwibawa.
“Kita inginkan lebih ramai pemain skuad Liga Super terdiri daripada pemain tempatan pada masa akan datang,” jelas Zainol ketika menyerahkan cek subsidi kepada setiausahan dan wakil ahli gabungan di Ipoh kelmarin.
Walaupun Perak sedang menduduki carta Liga Super dengan selesa pada musim 2011 ini tetapi terlalu bergantung kepada pemain import tempatan.
“Kita tidak mahu skuad Liga Super Perak cemerlang tetapi gagal mengetengahkan pemain tempatan kerana ketiadaan program pembangunan di peringkat akar umbi,” kata Zainol.
Oleh itu katanya, pembangunan bola sepak di peringkat daerah perlu dipertingkatkan supaya selaras dengan kecemerlangan skuad negeri.
Zainol memberitahu bahawa subsidi yang diberikan itu adalah sumbangan Ahli Majlis Pafa, Isham Shahruddin sebanyak RM30,000 kepada Pafa yang mana diagih-agihkan kepada ahli gabungan Pafa.
Selain subsidi tersebut, Presiden Pafa itu berjanji akan memberi sumbangan tambahan sebanyak RM3,000 kepada ahli gabungan yang aktif melaksanakan pelbagai program di peringkat akar umbi.
Beliau mengharapkan persatuan bola sepak daerah dapat menganjurkan liga tempatan dalam usaha mencungkil pemain muda yang berbakat bagi diketengahkan.
Presiden itu mengucapkan tahniah kepada beberapa ahli gabungan yang berjaya melaksanakan liga tempatan seperti Liga Daerah Kampar, Liga Bola Sepak Teluk Intan dan Liga Daerah Tapah.
Liga Daerah Taiping dan Liga Daerah Ipoh merupakan liga yang paling konsisten yang mana diadakan pada setiap tahun.
Sumber: www.peraknews.com
0 comments:
Post a Comment