Gejala bookie tidak pernah menular dalam kalangan pemain pasukan bolasepak Perak dan ianya hanya provokasi yang digunakan pihak lawan sebagai strategi baru melemahkan semangat pemain Perak, kata Presiden PAFA, Datuk Zainol Padzi.
Katanya, PAFA tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain-pemainnya sehingga membuat mereka menerima pengaruh ‘bookie’.
Malah isu penangguhan gaji tidak pernah wujud bagi pasukan Perak sejak dari perubahan baru dalam pengurusan PAFA.
“Sudah menjadi lumrah permainan, penyokong meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemain untuk mencatatkan kemenangan.”
“Tetapi, apabila kalah, penonton tidak dapat menerima kekalahan yang menyebabkan penilaian penonton yang pelbagai dari segi ‘pro and contra’, katanya ketika ditemuramah Peraknews.com.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan tidak akan memandang remeh isu negatif ini kerana ianya bakal menjatuhkan semangat pemain sekaligus mengganggu konsentrasi pemain.
Katanya, isu ini hanyalah usikan nakal sebilangan kecil penonton yang mempunyai niat provokasi terhadap pasukan Perak.
“Saya berharap, penyokong dan peminat jangan mendengar desas desus berkenaan tuduhan liar ini supaya dapat menjaga perasaan pemain Perak kerana ini akan mempengaruhi prestasi pasukan.
“Saya juga berharap agar penyokong dapat beri masa dan peluang bagi pemain untuk meneruskan permainan pada masa akan datang”, katanya.
Namun begitu ujar Zainol lagi, PAFA tidak akan teragak – agak untuk mengambil tindakan drastik jika terbukti benar kegiatan bookie sudah menular ke dalam pasukan Perak, kerana PAFA tidak mahu lagi kegiatan jenayah ini berlaku kepada pasukan Liga Super Perak.
Datuk Zainol berkata, sasaran pengurusan musim ini adalah untuk memastikan pasukan Perak terus mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super Malaysia.
Sumber: www.peraknews.com 5 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment