Oleh Azizan Hashim
NAIB Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Khairuddin Ahmad dan beberapa ahli majlis persatuan tidak bersetuju dengan tindakan Khairul Azwan Harun meletak jawatan sebagai pengurus skuad bola sepak Seladang.
Sebaliknya Khairuddin berpendapat tiada calon lebih layak melainkan Khairul Azwan untuk menggalas tugas pengurus pasukan menjelang kempen Piala Malaysia, awal September nanti.
Justeru, Khairuddin bertekad memainkan peranan utama mendesak jawatankuasa pengurusan Pafa menolak peletakan jawatan Khairul Azwan yang dilakukan sehari selepas tamat saingan Liga Super pada 6 Julai lalu.
“Siapa lagi paling sesuai untuk meneruskan tugasan selaku pengurus jika bukan Azwan. Secara peribadi saya tidak menyokong tindakannya itu.
“Jika dia berasa tercabar selepas gagal menggapai matlamat dalam liga Super, Khairul Azwan boleh menebusnya dengan memastikan pencapaian memberangsangkan anak buahnya di Piala Malaysia,” kata orang paling lama dalam Pafa itu.
Turut menyatakan pendirian sama ialah Naib Presiden 2, Mohd Nizar Zakaria walaupun menghormati prinsip bendahari Pafa itu.
“Dia mempunyai prinsip. Saya menghormati keputusannya itu. Namun demi pasukan dan negeri Perak saya rasa perlu ada pengorbanan,” katanya selepas menutup bengkel Pembangunan Bola Sepak Pafa di Ipoh semalam.
Jawatan pengurus pasukan Kejor Yob Kejor kosong selepas Khairul Azwan meletak jawatan sebagai memenuhi janjinya untuk mengosongkan jawatan sekiranya Seladang gagal berada dalam kelompok lima pasukan terbaik liga elit itu.
Perak yang dikendalikan oleh Norizan Bakar menamatkan cabaran dalam liga 14 pasukan yang dijuarai Kelantan itu ditangga keeenam.
Dalam perkembangan lain, Perak akan menguii lapan pemain hari ini dalam usaha memantapkan pasukan khususnya di bahagian serangan dan tengah untuk kempen Piala Malaysia, musim ini.
Namun identiti pemain terbabit tidak diketahui kecuali mereka didatangkan dari beberapa pasukan tidak terbabit dalam piala berprestij itu yang akan ‘dipinjam’ Pafa.
Seladang menghadapi masalah ketumpulan jentera serangan yang menyaksikan pasukan itu terlalu bergantung kepada ayam tambatan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Sumber: Harian Metro 18 Julai 2011
0 comments:
Post a Comment