Monday, 9 May 2011

Liga Super: “Saya undur diri jika Perak tiada dalam lima terbaik Liga”

Pix By Perak FA

Pasukan bola sepak Perak yang dibarisi oleh muka-muka baru perlu diberikan masa untuk terus beraksi dengan cemerlang dalam Liga Super pusingan kedua, ujar pengurusnya Khairul Azwan Harun.

Walaubagaimanapun, tidak boleh disangkal bahawa pasukan tersebut telah berjaya menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan dalam pusingan pertama Liga Super kali ini berbanding dua, tiga musim yang lepas.

Tetapi kejayaan yang diraih dalam pusingan pertama Liga Super tersebut tidak dapat bertahan dengan lebih lama apabila dalam pusingan kedua Liga Super prestasi mereka merundum jatuh.

Mengikut pemerhatian yang telah dijalankan, para pemain berjaya melakar strategi jurulatih pasukan, Norizan Bakar dengan cemerlang pada pusingan pertama, namun strategi tersebut telah berjaya dibaca oleh pasukan lawan dalam pusingan kedua Liga Super.

Khairul Azwan turut menyatakan yang jurulatih Perak sedang bekerja keras dalam melakarkan strategi dan formula baru yang lebih efektif untuk menangani lawan dalam mengharungi Liga Super sekarang.

Pengurus Pasukan Perak ini juga turut menerangkan yang pengurusan PAFA telah melakukan segala – galanya dalam memastikan semua kebajikan dan kemahuan para pemain di jaga dengan rapi dan teratur.

Sudah sampai masanya para pemain membalas kembali kepercayaan pihak pengurusan dan juga harapan penyokong Perak yang saban waktu menyokong Perak tanpa berbelah bagi.

Khairul Azwan juga menyentuh mengenai barisan pemain Perak yang ratanya di barisi oleh pemain muda.

“Sudah sampai masanya Perak mengetengahkan pemain – pemain muda, Perak satu ketika dahulu terkenal kerana sentiasa berjaya melahirkan pemain berkaliber untuk pasukan negeri mahu pun pasukan Malaysia.

Nama – nama seperti Nizam Adzha, Ahmad Shahrul Azhar dan Azizul sentiasa berada di dalam skuad Malaysia tidak lama dahulu, dan diharapkan pemain – pemain muda Perak sekarang dapat meneruskan tradisi kegemilangan tersebut.

Pemain – pemain barisan muda sekarang di lihat mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh lagi, namun ianya memerlukan komitmen dan tanggungjawab yang amat tinggi daripada para pemain. Pencapaian ini tidak dicapai dalam sekelip mata, kerja keras, komitmen dan kemahuan yang tinggi diperlukan dalam hal ini.

Khairul Azwan memohon, supaya penyokong Perak sentiasa hadir dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi setiap kali pasukan Perak beraksi.

“Saya amat gembira dengan kehadiran penyokong Perak sekarang, aura Stadium Perak sudah kembali musim ini”

“Saya yakin yang Perak akan bangkit kembali dari masalah ini, jika Perak gagal menamatkan Liga Super dalam kelompok lima pasukan terbaik maka saya akan memikul tanggungjawab tersebut dan menyerahkan surat perletakan jawatan agar ada orang lain yang lebih berkebolehan dapat memimpin pasukan Perak” ujarnya lagi.

Sumber: www.peraknews.com 9 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment