Tuesday, 3 May 2011

Bookie menular ke dalam pasukan Perak?

Gambar Hiasan
Kehebatan pasukan Perak memang tidak dapat dinafikan lagi ketika musim Liga Super baru bermula. Kemenangan demi kemenangan dilakarkan membuktikan yang pasukan Perak sedang menunjukkan prestasi yang meningkat naik jika dibandingkan dengan musim – musim yang lepas.

Namun begitu, sejak akhir – akhir ini, prestasi pasukan Perak seperti tidak menentu, sekejap cemerlang kemudian hambar. Ini terbukti dengan keputusan yang telah dicatatkan sebelum ini, menang ke atas Kelantan, tewas di tangan Selangor, menang besar ke atas KL dan tewas mengejut di tangan Kedah.

Semua keputusan ini mencerminkan prestasi tidak menentu pasukan Perak.

Persoalannya di sini adalah mengapa ia terjadi?

Beberapa suara tidak puas hati telah dilontarkan oleh penyokong Perak khasnya ketika kekalahan 3 – 1 kepada Kedah di Ipoh minggu lepas.

Beberapa pemegang tiket bermusim ketika ditemui selepas perlawanan tersebut telah mempersoalkan perkara ini. Malah ada di antara mereka turut mempersoalkan samada kegiatan bookie sudah menular kembali ke kancah Liga Super dan juga Perak khasnya.

Isu utama di sini adakah ini benar dan jika ianya benar adakah pengurusan PAFA menyedarinya?

Isu bookie memang sudah tidak dapat dinafikan lagi memang terjadi malah pasukan Perak menderita ketika skandal ini mula dibongkar beberapa tahun dulu di mana Perak menyaksikan ramai tonggak utamanya disingkirkan akibat skandal ini.

Sudah tiba masanya PAFA menjalankan siasatan dalaman dan siasatan ini patut di jadikan satu kewajipan setiap musim tanpa mengambil kira prestasi pasukan Perak.

Keadaan beberapa pemain yang sebelum ini menunjukkan prestasi yang amat tinggi tetap menurun sejak 2, 3 perlawanan kebelakangan ini telah juga menimbulkan beberapa persoalan kepada para penyokong Perak.

Walaupun keadaan masih belum boleh dikatakan teruk, namun PAFA harus mengambil tindakan “pre-emptive’ untuk memastikan tiada sebarang keadaan yang mencurigakan terjadi dalam pasukan Perak.

Tindakan ini penting dalam memastikan yang perkembangan pasukan Perak tidak lagi terancam dengan kegiatan bookie perjudian. Jadikan iktibar kepada apa yang telah terjadi kepada pasukan Perak dahulu.

Sudah tiba masanya untuk pengurusan PAFA menjalankan siasatan dalaman terhadap perkara ini, dan sepatutnya para pemain turut menginginkan perkara yang sama untuk membuktikan yang mereka tidak terlibat dengan bookie perjudian.

Pasukan Perak yang ratanya dibarisi pemain muda akan menjadi tumpuan bookie perjudian di mana mereka di lihat sebagai senang dipengaruhi berdasarkan umur dan pengalaman mereka.

Jangan disebabkan hanya kerana tamakkan wang yang tidak seberapa maruah negeri Perak digadaikan tanpa segan silu.

Pasukan Perak hampir lumpuh akibat dari skandal bookie yang lepas, jadikan ia sebagai pengajaran kerana sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Sumber: www.peraknews.com 3 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment