Para penyokong Kejor Yeop Kejor merayu supaya penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy dipertimbangkan dan disenaraikan dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan di Ipoh pada 12 April ini.
Presiden Kelab Peminat Bolasepak Perak ( KPBP ), Abdul Jamil Othman berkata sebahagian besar penyokong Kejor Yeop Kejor inginkan Razali kembali semula beraksi dalam skuad Seladang.
“Penyerang itu sudah memohon maaf dan berikrar tidak akan mengulangi perbuatan tersebut,” kata Jamil.
Beliau berkata, para penyokong mengharapkan pertimbangan sewajarnya daripada pihak pengurusan skuad Seladang dan jurulatih, Norizan Bakar.
Razali telah diketepikan daripada skuad Seladang setelah ponteng tanpa alasan selama tiga minggu pada 3 mac lalu.
Kini Razali sudah kembali semula dan menjalani latihan bersama-sama pemain-pemain lain mulai 27 Mac lalu.
Jamil berkata, para penyokong beranggapan Razali mampu memberi impak yang baik kepada Perak jika diturunkan.
“Terpulanglah kepada Norizan bagi menentukan kedudukan Razali dalam skuad Seladang,” jelas Jamil.
“Jurulatih tersebut tentu lebih arif dan memahami corak dan strategi yang akan digunakan kelak,” tambahanya.
Sebelum ini, Razali pernah diturunkan sebagai pemain gantian di bahagian serangan bagi digandingkan dengan Mohd Shafiq Jamal dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Penyerang sensasi itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan yang dilaluinya.
Selain itu, KPBP meminta para pemain supaya melupakan kekalahan yang dialaminya di Kota Kinabalu.
Sabah muncul sebagai pasukan pemusnah dengan meleburkan rekod tanpa kalah Perak apabila mereka mencatat kemenangan tipis 2 – 1 pada hari Sabtu lalu.
Kekalahan tersebut merupakan kekalahan pertama setelah berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan.
Kini Perak berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 19 mata iaitu satu mata di belakang Kelantan dan Selangor.
“Usah diingatkan lagi dengan kekalahan berkenaan tetapi pandanglah ke hadapan untuk mengharungi cabaran baru,” kata Jamil.
Katanya, Perak mampu menewaskan Kelantan jika semua pemain dapat memberi komitmen yang tinggi kepada skuad Seladang.
“Kami tetap memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada semua pemain supaya mereka bermain dengan lebih baik,” tegas Presiden KPBP.
Sumber: www.peraknews.com 12 April 2011
0 comments:
Post a Comment