Thursday, 14 April 2011

Perak mengganas, Kelantan lemas

Oleh Azizan Hashim
          
ANTARA aksi terbaik Perak setakat ini. Begitulah pandangan pengurus Seladang, Khairul Azwan Harun mengenai kejayaan 4-0 pasukan Kejor Yob Kejor itu ke atas Kelantan dalam saingan Liga Super, di Ipoh, malam kelmarin.

“Sekalung tahniah buat setiap pemain. Perlawanan itu aksi terbaik mereka setakat ini. Mereka beraksi dengan penuh disiplin serta komitmen untuk menghasilkan keputusan ini.

“Saya berharap aksi sebegini mampu diteruskan dalam perlawanan seterusnya terutama apabila turun menentang Selangor nanti,” katanya.

Pada perlawanan malam kelmarin yang disaksikan kira-kira 18,000 penonton, dua jaringan pada setiap babak menyentap semangat anak buah Datuk M Karathu yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas membaham Harimau Muda A, 6-0 , Sabtu lalu.

Tuan rumah yang turun diulit luka berikutan rekod tanpa kalah mereka dileburkan Sabah, 2-1 di Kota Kinabalu sebaliknya bingkas sejak awal permainan untuk mengenakan ancaman terhadap pelawat. Kesungguhan mereka berhasil apabila Md Fazrul Hazli meletakkan Seladang di hadapan hanya lima minit aksi berlangsung selepas rembatan kaki kirinya menewaskan penjaga gol, Kelantan, Khairul Fahmi.

Penjaga gol kebangsaan itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rembatan jarak dekat Mohamad Shafiq Jamal hasil lorongan Akmal dari sebelah kanan pada m-26 .

Ketika Kelantan mengarahkan segala kudrat ke kubu tuan rumah, Razali Umar Kandasamy yang dibawa masuk menggantikan Shafiq Jamal membalas kepercayaan jurulatih, Norizan Bakar apabila mencipta peluang buat Akmal Rizal menyumbat gol ketiga sebelum dia sendiri melengkapkan kemenangan penuh bermakna Perak dengan menghukum kealpaan pertahanan lawan pada m-81.

Sumber: Harian Metro 14 April 2011

0 comments:

Post a Comment