Saturday, 23 April 2011

Liga Super : Para Pemain Perak Perlu Aggresif Di Kuala Terengganu

Para pemain Perak perlu lebih aggresif jika mahu membawa pulang sebarang mata dari Kuala Terengganu Sabtu ini.

Perak akan bertandang ke gelanggang lawan untuk berdepan dengan Terengganu dalam persaingan pusingan kedua Liga Super musim ini.

Skuad Seladang yang mencatat enam kemenangan, seri lima perlawanan dan kalah dua perlawanan berada di tangga kelima liga dengan mengumpul 23 mata.

Perak ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Selangor yang berjaya mengutip 29 mata.

Terengganu berada di tangga kedua dengan 25 mata Kelantan di tangga ketiga dengan 24 mata.

Kedah yang turut mengutip 24 mata berada di tangga keempat tetapi berbeza jaringan dengan Kelantan.

Sebelum ini, Perak dan Terengganu telah beraksi dalam tiga perlawanan yang mana Perak mencatat kemenangan 3 – 2 dalam suku akhir pertama Piala FA pada 15 Mac.

Namun begitu, Perak tumbang dengan 1 – 3 kepada skuad Penyu dalam perlawanan suku akhir kedua di Kuala Terengganu pada 19 Mac.

Dalam persaingan Liga Super, Perak gagal mengutip mata penuh setelah seri 1 – 1 dengan Terengganu di Ipoh pada 19 April.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu berjaya menguasai permainan setelah mengikat pergerakan pemain tengah, Shahrulnizam Mustapa dan K.Nanthakumar.

Selain itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti telah menugaskan seorang pemain mengawal ketat setiap pergerakan penjaring utama Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan pemain gantian, Razali Umar Kandasamy.

Strategi Irfan Bakti itu membuahkan hasil apabila Perak gagal menjaringkan tambahan sehingga tamat perlawanan.

Irfan Bakti dijangka akan menggunakan strategi yang sama bagi membolehkan Terengganu meraih tiga mata penuh dan sekaligus merapat jurang perbezaan mata dengan Selangor.

Sehubungan dengan itu, para pemain Perak perlu lebih aggresif agar mereka tidak diikat oleh
pemain lawan agar dapat menjaringkan gol.

Jurulatih, Norizan Bakar sudah tentu mempunyai strategi tersendiri bagi membolehkan anak buahnya melepaskan diri daripada kawalan ketat Terengganu kelak.

Sumber: www.peraknews.com 23 April 2011

0 comments:

Post a Comment