Friday, 8 April 2011

Liga Piala Presiden: Perak Tidak Kalah Dalam Lapan Perlawanan Berturut-Turut

Barisan muda Perak berjaya mempertahankan rekod tanpa kalahnya dalam lapan perlawanan berturut-turut.

Pasukan itu berjaya menumpaskan Sekolah Sukan Bandar Penawar ( SSBP ) 3 – 1 dalam Liga Piala Presiden di Johor Bharu semalam.

Penolong Pengurus Pasukan, Zainal Anuar Rashid gembira apabila skuad muda itu memperolehi kemenangan selepas seri dalam empat perlawanan berturut-turut yang lalu.

“Mereka telah bekerja keras bagi mendapatkan kemenangan tersebut,” jelas Zainal.

Selain itu katanya, kejayaan para pemain mematuhi strategi yang disusunkan oleh jurulatih, Abu Bakar Fadzim membolehkan Perak beraksi lebih bertenaga.

Perak berjaya mendahului SSBP 2 – 0 pada separuh masa pertama melalui jaringan G. Munthiran dan Amirul Azahan.

Separuh masa kedua SSBP menjaringkan satu dan Perak menambah satu gol lagi melalui Mohd Hafiz Ramlan.

Kini, laluan Perak ke pusingan suku akhir semakin cerah dengan kemenangan tersebut yang mana Perak berjaya mengumpul 20 mata selepas beraksi dalam 12 perlawanan.

Hanya empat pasukan teratas dalam kumpulan A dan B Liga Piala Presiden akan meneruskan persaingan bagi merebut piala tersebut dalam pertarungan kalah mati.

Zainal bersyukur dengan kemenangan itu kerana Perak hanya membawa 17 pemain ke gelanggang lawan setelah beberapa pemain lain mengalami kecederaan.

“Akibat ramai pemain yang tercedera, kami terpaksa menggunakan pemain-pemain simpanan sahaja,” tambahnya.

Selepas ini, Perak akan menanti kedatangan Sime Darby di Ipoh pada 14 April depan.

Sumber: www.peraknews.com 8 April 2011

0 comments:

Post a Comment