Showing posts with label Sinar. Show all posts
Showing posts with label Sinar. Show all posts

Wednesday, 11 May 2011

Mutu pengadilan kurang memuaskan

PRESIDEN Kelab Peminat Bola Sepak Perak, Abdul Jamil Othman ternyata kurang senang dengan mutu pengadilan yang dianggap kurang memuaskan pada pertembungan Harimau Muda A dan Perak di Shah Alam, kelmarin. 

Menurutnya, perlawanan yang diadili Anuar Che Husin serta dua pembantunya, Busrah Eri dan Jais Bujang boleh dipersoalkan kerana menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan. 

“Sebagai penyokong, saya kecewa dengan mutu pengadilan buruk sepanjang 90 minit perlawanan. 

“Keputusan mereka mencetuskan kontroversi kepada pemain kedua-dua pasukan dan peminat yang hadir ke stadium,” katanya. 

Menurut Jamil, perkara seumpama itu berulang ketika pertemuan membabitkan pasukan Seladang dalam perlawanan terdahulu. 

Katanya, skrip itu wujud dan tidak berubah sejak zaman bekas Pengurus Perak Datuk Jamal Nasir Rasdi. 

Sementara itu, Jamil turut memuji skuad Yob kendalian Norizan Bakar yang menunjukkan semangat juang tinggi sehingga tamat permainan.


Sumber: Sinar Harian 11 Mei 2011

Cikgu Jan lega Yob seri

PENGENDALI Seladang, Norizan Bakar menghela nafas lega selepas anak didiknya mencuri satu mata pada aksi bola sepak Liga Super bertemu Harimau Muda A, kelmarin. 

Menurutnya, pemain mula mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang dilalui sepanjang musim ini. 

“Anak buah saya berjuang sehingga ke wisel penamat dan hasilnya kami mendapat satu mata berharga untuk di bawa pulang ke Ipoh,” katanya. 

Ditanya mengenai pertemuan menentang Sabah pada 19 Mei depan, Norizan berkata, mereka tetap menggunakan pendekatan yang sama seperti perlawanan terdahulu. 

Katanya, walaupun Sabah muncul pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah Yob musim ini, itu sudah menjadi satu sejarah. 

“Saya enggan memikirkan benda yang berlalu dan biarlah ia menjadi sebahagian daripada sejarah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian 11 Mei 2011

Tuesday, 10 May 2011

Khairul Azwan rela letak jawatan

“Jika Perak gagal mendapat tempat dalam kelompok lima teratas Liga Super, saya dengan rela hati menyerahkan surat peletakan jawatan supaya orang lain yang lebih layak memimpin pasukan Perak. 

Begitu luahan pengurus pasukan Perak, Khairul Azwan Harun. 

Bagaimanapun, jika Perak dapat mengekalkan prestasi dan terus berada dalam kedudukan lima teratas, beliau akan meneruskan tanggungjawab memimpin skuad Seladang itu. 

Menurutnya, bagi memastikan Perak terus beraksi cemerlang dalam Liga Super pusingan kedua, muka baru harus diberikan masa. 

“Perak berjaya menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan dalam pusingan pertama Liga Super kali ini berbanding dua, tiga musim yang lepas. 

“Namun, skuad kendalian Norizan Bakar tidak dapat bertahan apabila prestasi mereka merudum dalam pusingan kedua Liga Super,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Prestasi pasukan Kejor Yob Kejor tiba-tiba merudum pada pusingan kedua selepas cemerlang mempertahankan rekod tanpa kalah 10 perlawanan pusingan pertama liga.

Sumber: Sinar Harian 10 Mei 2011

Thursday, 5 May 2011

Pafa sangkal pemain terlibat judi

Pafa Sangkal Skuad Seladang Diresapi Bookie (BERNAMA)

IPOH, 4 Mei (Bernama) -- PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Padzi Paharuddin semalam menyangkal dakwaan gejala menjual permainan kembali meresap ke dalam kancah bola sepak negara dan menjadi punca kemerosotan skuad Seladang.

Beliau berkata pasukan bola sepak Perak tidak menghadapi gejala “bookie” dan dakwaan berkenaan itu dipercayai lebih berupa provokasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Mereka menggunakan kekalahan pasukan ini yang berturut-turut dengan mengaitkannya dengan judi. Pafa tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain-pemainnya sehingga membuat mereka menerima pengaruh bookie.

“Malah isu penangguhan gaji juga tidak pernah wujud dalam pengurusan Pafa sejak ianya diambil alih pengurusan baru,” katanya.

Zainol Padzi berkata Pafa bagaimanapun tidak akan teragak–agak mengambil tindakan tegas jika terbukti benar kegiatan bookie sudah menular ke dalam pasukan bola sepak Liga Super Perak.

Beliau berharap provokasi berkenaan tidak akan menjatuhkan semangat pemain sekali gus mengganggu konsentrasi mereka.

“Bagi saya, isu ini hanyalah usikan nakal sebilangan kecil penonton yang mempunyai niat provokasi terhadap pasukan Perak.

“Saya berharap penyokong dan peminat jangan mendengar dan percaya tuduhan liar ini supaya dapat menjaga perasaan pemain Perak kerana ini akan mempengaruhi prestasi pasukan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian 5 Mei 2011 & BERNAMA 4 Mei 2011

Tuesday, 19 April 2011

Seladang diingatkan lupakan kekalahan

KESEBELASAN Perak diharap dapat melupakan kekalahan 0-1 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu dan memberi fokus dalam melayan kunjungan Terengganu di Stadium Perak malam ini. 

Ketua Jurulatih Perak, Norizan Bakar berkata, perlawanan dengan Selangor itu sudah berlalu dan semua pemain seharusnya memandang ke hadapan selain bersedia dalam perlawanan menentang Terengganu. 

“Lupakan kekalahan lalu dan kita harus memandang ke hadapan kerana malam ini kita akan menentang Terengganu. 

Untuk rekod, Perak kini berada di tangga ketiga liga dengan 22 mata tewas 0-1 kepada pendahulu liga, Selangor, Sabtu lalu sementara Terengganu di kedudukan kedua liga dengan 24 mata setelah menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. 

Sementara itu, Perak dijangka membariskan kesebelasan terbaiknya pada perlawanan malam ini demi raih kejayaan.



Sumber: Sinar Harian 19 April 2011

Monday, 18 April 2011

Tabik ‘spring’ buat penyokong Perak

WALAUPUN pasukan kesayangan mereka tewas di tangan Selangor, namun itu tidak menjadi masalah buat penyokong setia skuad Kejor Yob Kejor untuk terus memberi sokongan moral kepada anak buah Norizan Bakar. 

Koordinasi mantap Ultras Perak dan kira-kira 5,000 penyokong skuad Seladang yang hadir di Stadium Shah Alam harus diberi pujian kerana memberi rangsangan kepada pemain setiap kali mendapat bola. 

Paling mencuri tumpuan, penyokong tidak berganjak sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan malah terus berdiri, bertepuk tangan dan menyanyikan lagu keramat Perak ‘Ipoh Mali Talak Sombong’. 

Situasi ini sedikit berbeza jika dibandingkan dengan beberapa penyokong fanatik di Liga Super. 

Jika pasukan kesayangan mereka gagal mengutip tiga mata, mereka mula mencemuh atau keluar awal sebelum masa sebenar perlawanan ditamatkan. 

Kelmarin, skuad Seladang tumpas 0-1 ketika berkunjung ke Shah Alam, bagaimanapun persembahan anak buah Cikgu Jan tidak mengecewakan kerana berjaya memberi tentangan hebat sepanjang perlawanan berlangsung. 

Gol kemenangan Selangor dijaringkan kapten skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim pada minit ke-68 separuh masa kedua. 

Dengan kemenangan itu Selangor di puncak liga, Perak di tangga ketiga.

Sumber: Sinar Harian 18 April 2011