Oleh Azizan Hashim
KELAB Peminat Bola Sepak Perak (KPBP) merayu kepada Khairul Azwan Harun supaya menarik balik keputusannya meletakkan jawatan sebagai pengurus skuad Seladang.
Presiden, Abdul Jamil Othman membuat gesaan itu kerana bimbang tindakan Khairul Azwan melepaskan jawatan itu berikutan kegagalan Perak muncul antara lima pasukan teratas saingan Liga Super lalu akan menjejas pasukan dalam kempen Piala Malaysia bermula September ini.
“KPBP merayu Khairul Azwan supaya meneruskan tugasnya sebagai pengurus pasukan. Ketiadaannya mungkin menyebabkan Perak terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda.
“Segala yang berlaku bukan kesalahannya. Malah beliau sudah melakukan segala yang terdaya untuk memastikan kebajikan pemain terjaga. Cuma malangnya kita cuma merancang, Tuhan yang menentukan. Sebenarnya tiada siapa yang menyalahkannya,” katanya.
Walaupun faham tindakan Khairul Azwan itu dibuat sebagai memenuhi janjinya, Jamil berkata, kepentingan pasukan juga perlu diambil kira agar Seladang mampu bangkit dalam piala yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu.
“Piala Malaysia adalah segala-galanya. KPBP berharap pasukan Perak mampu mencapai kejayaan memberangsangkan dalam piala itu nanti,” katanya.
Jamil berkata kehadiran Khairul perlu agar dapat meneruskan kesinambungan pasukan Kejor Yob Kejor seperti di pusingan pertama Liga Super lalu apabila mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah.
“Suasana keghairahan ketika itu cukup dirasakan. Stadium mulai dipenuhi penonton semula. Bagaimanapun pemain gagal mempertahankan momentum kehebatan di pusingan kedua berikutan jadual padat yang menjejaskan prestasi skuad Seladang,” katanya.
Sumber: Harian Metro 14 Julai 2011
0 comments:
Post a Comment