Tuesday, 10 May 2011

Perak terus lesu

PENYERANG Harimau Muda A. Wan Zack Haikal (depan) bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Perak pada aksi Liga Super di Shah Alam malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1
PERAK terus gagal mencatat kemenangan untuk perlawanan keempat berturut-turut apabila sekadar seri 1-1 dengan Harimau Muda A pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kali terakhir skuad Kejor Yob Kejor mencatat kemenangan adalah pada 26 April lalu ketika mereka menewaskan Kuala Lumpur 5-3 di Ipoh dan mereka turut seri 0-0 ketika bertemu Pahang, Jumaat lalu.

Turun tanpa dua penggempur berbisa, Akmal Rizal Rakhli dan Razali Umar Kandasamy, jentera serangan Perak yang diterajui Shafiq Jamal dan Shazuan Ashraf Mathews tampak tumpul sepanjang separuh masa pertama.

Gol pertama Harimau Muda A hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi rembatan cantik Gary Steven Robbat yang gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Nasril Nourdin.

Namun Perak berjaya menyamakan kedudukan hanya seminit selepas babak kedua bersambung hasil sepakan kencang Wan Hossen Wan Ghani dari luar kotak penalti menewaskan Zamir Selamat.

Permainan seimbang kedua-dua pasukan selepas itu bagaimanapun direncatkan dengan mutu pengadilan buruk oleh Anuar Che Husin serta dua pembantunya, Busrah Eri dan Jais Bujang.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan untuk mereka sekadar berkongsi satu mata.

Pada perlawanan lain, Selangor menewaskan Kedah 2-0 di Alor Setar bagi membolehkan mereka menduduki tangga teratas liga buat seketika, kerana pendahulu, Kelantan tidak beraksi malam tadi.

Johor FC pula menang 2-1 ke atas Terengganu, manakala Kuala Lumpur garang membelasah Perlis 3-0.

T-Team yang mendapat semula khidmat jurulatih, Yunus Alif tampil garang untuk menewaskan Felda United 2-0, manakala Sabah menghampakan Pahang 2-0.

Sumber: KOSMO 10 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment