Mampukah Perak meraih mata penuh dalam pertemuan Liga Super menentang Pahang di Ipoh malam ini.
Para peminat semakin sangsi dengan kekuatan skuad Seladang apabila kalah tiga daripada empat perlawanan pusingan kedua.
Mereka mendakwa corak persembahan para pemain semakin longgar kerana semangat berpasukan semakin luntur.
Oleh itu, mereka berharap para pemain perlu kembali beraksi secara berpasukan dan mengenepikan perasaan berpuak-puak supaya skuad Seladang tetap mantap.
Walau apapun anggapan para peminat, Perak perlu mengutip mata penuh malam esok bagi mengembalikan keyakinan para peminat Seladang.
Skuad Seladang mungkin beraksi dalam stadium yang kosong seperti masa lalu jika skuad Seladang gagal meningkat semula.
Sebelum ini, para peminat telah memberi sambutan yang hangat terhadap skuad Seladang apabila antara 10,000 hingga 15,000 orang hadir dalam beberapa perlawanan pusingan pertama lalu.
Oleh itu, pertemuan dengan Pahang perlu dianggap sebagai titik tolak kebangkitan semula skuad Seladang atau terus dipinggirkan oleh para penyokongnya.
Namun begitu, jurulatih, Norizan Bakar mempunyai jawapan tersendiri mengenai kemerosotan skuad Seladang dalam beberapa perlawanan lalu.
Kekurangan barisan pemain yang berbakat besar menyulitkan Norizan untuk menyusun strategi apabila beberapa pemain utama digantung atau mengalami kecederaan.
Selain itu, jurang perbezaan prestasi antara pemain utama dengan barisan simpanan yang terlalu besar menyebabkan persembahan Perak terjejas dengan ketiadaan pemain utama.
Bekas jurulatih kebangsaan itu sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri bagi mengembalikan prestasi skuad Seladang seperti masa lalu.
Sumber: www.peraknews.com 6 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment