Para pemain Perak digesa supaya bersedia bagi menghadapi perlawanan yang lebih mencabar dan sengit di penghujung saingan Liga Piala Presiden.
Penolong Pengurus Pasukan, Zainal Anuar Rashid berkata, walaupun masih berbaki tujuh perlawanan tetapi persaingan semakin sengit.
Selepas mengharungi 15 perlawanan, Perak berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 27 mata.
Sebelum ini, Perak mencatat kemenangan selesa menumpaskan Perlis 4 – 0 di Ipoh pada 12 Mei lalu.
Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim juga memperolehi mata penuh mengalahkan Kedah 1 – 0 di Alor Setar pada 5 Mei yang lalu.
Johor FC dan Sime Darby begitu rapat menghimpit Perak dengan mengumpul 26 mata yang mana kedua-dua pasukan berada di tangga keempat dan kelima.
Perlis yang berada di tangga keenam liga mengutip 24 mata juga memberi saingan sengit kepada Perak.
Sabah masih unggul mendahului sepuluh pasukan lain dalam kumpulan A dengan mengumpul 34 mata dan diikuti oleh Kelantan di tangga kedua dengan 31 mata.
“Hanya empat pasukan teratas yang layak ke suku akhir yang mana persaingan amat sengit,” jelas Zainal.
“Perak tidak boleh kehilangan mata dalam perlawanan akan datang sehingga menjejas kedudukan ke suku akhir,” tambahnya.
Perak akan berdepan Selangor dalam perlawanan ke-16 di Shah Alam pada 19 Mei ini.
“Walaupun Selangor berada di tangga kesembilan liga tetapi para pemain tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka,” kata Penolong Pengurus Pasukan tersebut.
Beliau berharap para pemain akan beraksi bersungguh-sungguh bagi membolehkan Perak membawa pulang tiga mata penuh kelak.
Sumber: www.peraknews.com 15 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment