Pemain-pemain muda Perak terus mempamerkan kecemerlangannya dengan menumpaskan Sime Darby FC 1 – 0 dalam Liga Piala Presiden di Ipoh petang semalam.
Kemenangan itu telah mengekalkan rekod tanpa kalah skuad muda yang dibimbing oleh Abu Bakar Fadzim dalam sembilan perlawanan berturut-turut.
Kini, kedudukan Perak ke pusingan suku akhir semakin cerah apabila berjaya mengumpul 23 mata daripada 13 perlawanan.
Abu Bakar memberitahu bahawa kemenangan itu akan meletakkan Perak di tangga ketiga dalam carta Liga Piala Presiden di belakang Sabah dan kelantan.
Hanya empat pasukan teratas dalam kumpulan A dan B Liga Piala Presiden akan meneruskan persaingan masing-masing ke peringkat suku akhir kelak.
Penyerang berbakat, Kenny Pallraj menjadi wira Perak apabila jaringannya pada minit ke-69 berjaya membantu Perak mencapai kemenangan yang berharga.
Abu Bakar berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya dalam perlawanan tersebut.
“Mereka telah mempamerkan komitmen yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan gol kemenangan,” jelasnya.
Dalam pusingan pertama, Perak tumpas 1 – 3 kepada Sime Darby FC tetapi berjaya membalas dendam dengan mencatat kemenangan tipis itu.
Namun begitu, Abu Bakar berharap para pemain tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang diperolehi kerana perjuangan mereka belum selesai lagi.
Perak masih mempunyai tujuh perlawanan lagi yang perlu diharungi sehingga penghujung liga ini.
Abu Bakar berkata, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera menjelang pertemuan dengan Johor FC di Johor Bharu pada 21 April akan datang.
Sumber: www.peraknews.com 15 April 2011
0 comments:
Post a Comment