Perak rindukan kemenangan dan enggan berkongsi mata dengan Sekolah Sukan Bandar Penawar ( SSBP ) dalam persaingan Liga Piala Presiden di Johor Bharu hari ini.
Barisan muda Perak itu telah mencatat keputusan seri dalam empat perlawanan berturut-turut sehingga menjejaskan kedudukannya dalam carta liga.
Kini, Perak berada di tangga keempat liga dengan mengumpul 17 mata selepas beraksi dalam sebelas perlawanan.
Sabah masih mendahului sebelas pasukan lain dengan merangkul 25 mata, diikuti oleh Kelantan sebanyak 21 mata dan Johor FC di tangga ketiga dengan 20 mata.
Namun begitu, Perak masih berbangga dengan pencapaiannya apabila tidak pernah kalah dalam tujuh perlawanan berturut-turut.
Penolong Pengurus Pasukan, Zainal Anuar Rashid berkata, Perak akan mempertahankan rekod tanpa kalah tersebut.
“Para pemain diarahkan supaya beraksi bersungguh-sungguh dalam usaha mendapatkan mata penuh,” jelas Zainal di Ipoh semalam.
Beliau berharap para pemain tidak memandang rendah kemampuan SSBP yang berada di tangga kesepuluh liga dengan mengutip tujuh mata.
Barisan muda yang dibimbing oleh Abu bakar Fadzim dan Syamsol Saad pernah menumpaskan SSBP 3 – 0 di Ipoh dalam pusingan pertama yang lalu.
“ SSBP mampu melakukan kejutan, jika Perak tidak berhati-hati dan memandang rendah kemampuan pasukan berkenaan,” kata Zainal.
Penolong Pengurus itu memberitahu bahawa Perak tidak boleh mencatat keputusan seri kerana akan menjejaskan kedudukan ke suku akhir kelak.
Perlis dan Sime Darby yang masing-masing mengumpul 17 mata seperti Perak berpeluang mengatasi skuad muda Seladang untuk mara ke suku akhir kelak.
Hanya empat pasukan teratas dalam kumpulan A dan B Liga Piala Presiden akan bersaing bagi merebut piala tersebut dalam pertarungan kalah mati.
“ Perak tidak boleh terlepas peluang berkenaan dan para pemain perlu bermain dengan penuh komitmen,” jelasnya.
Sumber: http://www.peraknews.com 7 April 2011
0 comments:
Post a Comment