Saturday, 9 April 2011

Dua pertandingan baru

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) akan memperkenalkan dua pertandingan baru iaitu Trofi Juara-Juara dan Piala Amanjaya 2011 dalam usaha menyemarakkan lagi suasana kemeriahan yang sedang melanda negeri itu berikutan pencapaian memberangsangkan pasukan Seladang ketika ini.

Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Trofi Juara-juara merebut Piala Menteri Besar akan menjadi kejohanan utama manakala Piala Amanjaya itu untuk peringkat umur antara daerah.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri berkata, usul itu akan dikemukakan kepada jawatankuasa pertandingan yang dipengerusi Naib Preiden 2, Drs Mohd Nizar Zakaria.

Katanya selain dua pertandingan itu, Piala Presiden untuk bawah 20 tahun akan dihidupkan semula bertujuan mencungkil bakat baru untuk diketengahkan.

Zainol berkata demikian selepas majlis penyerahan subsidi sebanyak RM2,000 kepada setiap ahli gabungan bertujuan membantu mengadakan aktiviti demi perkembangan bola sepak di negeri itu.

“RM2,000 ini adalah sebagai pendahuluan. Ahli gabungan yang aktif akan diberi bantuan tambahan jika memerlukannya. Kita berharap akan berlaku perkembangan seiring antara pasukan bola sepak negeri dengan di daerah-daerah.

“Kita tidak mahu pasukan Liga Super cemerlang tetapi kita gagal melahirkan pemain tempatan berwibawa kerana ketidaan program pembangunan,”katanya ketika menyampaikan cek kepada setiausaha atau wakil ahli gabungan di Ipoh, kelmarin.

Menurutnya, subsidi itu adalah sumbangan ahli majlis, Isham Shahruddin yang menyumbang RM30,000 kepada Pafa dan wang itu diagih-agihan kepada daerah dan 15 ahli gabungan menyaksikan masing-masing menerima RM2,000. Beliau berkata sumbangan tambahan berjumlah RM3,000 akan diberikan kepada daerah atau ahli gabungan yang aktif .

“Pafa juga berharap pemberian subsidi akan dilakukan secara konsisten untuk membantu ahli gabungan mengadakan aktiviti masing-masing,” katanya.

Dengan itu beliau berharap daerah akan menjalankan program terutama menganjur liga tempatan dalam usaha mencungkil pemain muda berbakat untuk diketengahkan.

Sumber: Harian Metro 9 April 2011

0 comments:

Post a Comment