YUNUS (kanan) mengingatkan barisan pemainnya agar tampil garang pada aksi menentang Perak, malam ini.
WALAUPUN menduduki tangga kedua tercorot dalam saingan Liga Super, ia tidak menghadirkan gentar kepada skuad T-Team dalam misi membenam Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini, lapor MUSTAPA LAKAWA.
Malah, pengendali T-Team, Yunus Aliff awal-awal lagi menyuarakan keyakinan bahawa kesebelasan utamanya mampu menghadirkan kejutan sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah skuad Seladang itu selepas enam perlawanan.
Menurut Yunus, pasukan bimbingannya yang kini menduduki tangga ke-13 liga akan menggunakan segala kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata berharga.
"Musim ini, kami lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat dan kesempatan melayan kunjungan Perak di Kuala Terengganu malam esok (malam ini) adalah peluang terbaik untuk kami mencari kemenangan.
"Saya juga yakin pemain-pemain T-Team akan bermain bermati-matian selepas menyedari kedudukan pasukan yang kini berada dalam kelompok terbawah liga," katanya kepada Kosmo! semalam.
Yunus yang memburu gelaran sulung pada penampilan musim pertamanya bersama T-Team tahun ini turut memberi peringatan kepada anak buahnya agar lebih fokus sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun kata bekas pemain kebangsaan ini, kewibawaan Perak selaku pasukan tangga kedua liga selain masih mengekalkan rekod tanpa kalah perlu dihormati.
"Kita sedar perlawanan pasti akan sukar memandangkan Perak telah menunjukkan kebangkitan luar biasa musim ini apabila belum tewas sebarang perlawanan.
"Andai kami berjaya menewaskan mereka, ia bakal memberi suntikan semangat kepada para pemain untuk terus memburu kemenangan pada perlawanan seterusnya," ujarnya lagi.
Sumber: KOSMO 12 Mac 2011
0 comments:
Post a Comment