KUALA LUMPUR - Perak semakin garang pada permulaan Liga Super apabila mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur untuk berada di tangga kedua di belakang Kelantan, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan.
Gandingan Muhammad Syafiq Jamal dan Akmal Rizal Rakhli menjadi duri dalam daging kepada pertahanan lawan apabila masing-masing menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama.
Syafiq yang juga bekas penyerang Kedah membuka tirai jaringan skuad Seladang pada minit ke-22, melalui sepakan jarak jauh dari luar kotak penalti selepas tidak dikawal oleh pertahanan Pahang.
Akmal terus membuktikan bisanya bersama Perak apabila berjaya meraih gol ketiga peribadi musim ini selepas meletakkan skuad pelawat 2-0 pada minit ke-45, ekoran situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Pahang.
Sumber: Utusan Malaysia 27 Feb 2011
0 comments:
Post a Comment