Oleh Azizan Hashim
am@hmetro.com.my
PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji peraturan mengenai pembayaran kos pemeriksaan lampu limpah di gelanggang baru sesebuah pasukan jika berlaku pertukaran tarikh perlawanan Liga M.
Ini berikutan Pafa terpaksa membiayai kos pemeriksaan lampu limpah di Stadium Lumut ketika pegawai FAM hadir membuat pemeriksaan untuk perlawanan Liga Super antara Perak dengan Sabah, hari ini.
Bagaimanapun cahaya lampu limpah di stadium pangkalan Tentera Laut Lumut (TLDM) itu tidak cukup terang menyebabkan perlawanan terpaksa diadakan pada sebelah petang. Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, peraturan itu perlu dikaji kerana FAM yang meminda tarikh perlawanan dan kebetulan menyebabkan perlawanan tidak dapat diadakan di Stadium Perak.
“Pafa faham peraturan dan ketetapan yang dibuat tapi dalam hal tertentu seperti ini kenapa kami yang kena tanggung kos pemeriksaan Stadium Lumut.
“Pafa mungkin terpaksa guna stadium ini sekali saja musim ini kerana setakat ini tidak ada masalah untuk mengadakan perlawanan lain di Ipoh,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, perlawanan dengan Sabah itu sepatutnya diadakan pada 14 Jun ini tetapi FAM mengarahkan perlawanan diadakan pada 19 Mei menyebabkan Perak dalam dilema kerana Stadium Perak tidak dapat digunakan kerana persiapan bagi kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
Katanya alternatif yang ada ialah bermain di Stadium Lumut bagi mengelak perlawanan diadakan di Kota Kinabalu jika ingin ditangguhkan ke tarikh lain.
Sumber: Harian Metro 18 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment