
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, persatuan tersebut beranggapan tenaga Razali tidak diperlukan lagi dalam persaingan Liga Super.
Sehubungan dengan itu, Zainol percaya skuad Seladang mampu mencatat keputusan yang baik dalam tiga perlawanan terakhirnya menentang Johor FC ( 6 Jun ), Kelantan ( 14 Jun ) dan Selangor ( 6 Julai ) walaupun ketiadaan Razali.
Katanya, strategi yang disusun oleh jurulatih, Norizan Bakar tidak terjejas dengan ketiadaan Razali kerana pemain-pemain muda yang lain mampu mengisi kekosongan itu.
Sebelum ini katanya, Perak mampu merangkul mata penuh semasa berdepan dengan T-Team, Felda United dan Perlis walaupun tanpa kelibat Razali.
Dalam ketiga-tiga perlawanan itu, Perak berjaya mengalahkan Felda United 1 – 0, Perlis 2 – 1 dan T-Team, Terengganu 2 – 0.
Beliau memberitahu bahawa kontrak Razali ditamatkan kerana penyerang tersebut gagal menghadiri latihan harian sejak 6 Mei lalu.
Katanya, mesyuarat pengurusan Pafa yang diadakan di Ipoh pada hari Jumaat lalu bersetuju menamatkan kontrak Razali.
Beliau menjelaskan bahawa kesalahan ponteng latihan yang dilakukan oleh Razali itu merupakan kesalahan kali ketiga yang mana penyerang tersebut sudah diberi amaran terakhir semasa ponteng kali kedua pada 26 Mac lalu.
“Razali sudah mengetahui hukuman yang akan diterimanya jika mengulangi kesalahan yang sama,” tegas Presiden Pafa itu.
“Kini pintu Pafa sudah tertutup dan tiada sebarang perundingan lagi,” tambahnya.
Zainol berkata Razali diturunkan dalam perlawanan menentang Pahang di Ipoh pada 6 Mei lalu tetapi dikeluarkan setelah mengalami kecederaan pada pahanya.
“Selepas itu, Razali terus menghilangkan diri tanpa sebarang berita dan gagal menjalani latihan harian seperti yang ditetapkan dalam kontrak,” jelasnya.
Sebelum ini, Razali turut ponteng latihan harian tanpa sebarang alasan selama 17 hari mulai 9 Mac lalu.
Razali juga gagal menghadiri latihan selama tiga minggu tanpa sebarang alasan selepas Perak balik daripada menjalani latihan di Bangkok pada 26 Disember lalu.
Sumber: www.peraknews.com 30 Mei 2011
0 comments:
Post a Comment