Tuesday, 19 April 2011

Liga Super: Hadiah Berharga Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak

Kemenangan mutlak Perak ke atas Terengganu dalam persaingan Liga Super akan menjadi hadiah berharga sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada hari ini.

Perak akan berdepan Terengganu dalam perlawanan terakhir pusingan pertama liga tersebut di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Selain hadiah yang bermakna itu, pertemuan tersebut akan membolehkan Perak memintas Terengganu bagi merebut tempat kedua liga.

Sehubungan dengan itu, skuad bimbingan Norizan Bakar perlu mengutip mata penuh dalam pertemuan yang dijangka sengit dan mendebarkan.

Selepas beraksi 12 perlawanan, Perak berada di tangga ketiga dengan mengumpul 22 mata.

Sementara Terengganu berada di tangga kedua dengan mengutip 24 mata.

Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, para pemain Perak sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan Terengganu.

“Moral para pemain tidak terjejas dengan kekalahan kepada Selangor pada hari Sabtu lalu,” jelas Khairul Azwan.

Sebaliknya, Pengurus Pasukan itu memberitahu bahawa para pemain semakin bersemangat untuk mendapatkan mata penuh.

Beliau berharap para pemain akan mengikuti strategi yang disusun oleh Norizan bagi membolehkan Perak mendapat tiga mata penuh.

“Saya gembira kerana prestasi semua pemain termasuk Razali Umar Kandsamy berada pada tahap yang membanggakan,” tambahnya.

Walau bagaimanapun Khairul Azwan berkata, Perak tetap menghormati Terengganu kerana pasukan berkenaan juga mempunyai strategi untuk mengutip mata.

Beliau menyeru semua pemain Perak supaya berhati-hati dan tidak melakukan kesalahan yang boleh membahayakan pintu gol sendiri.

Sumber: www.peraknews.com 19 April 2011

0 comments:

Post a Comment